Akhbar Utusan akhirnya ditelan zaman...



UTUSAN : Akhirnya Ditelan Zaman

Antara babak tragis yang berlaku kemarin ialah pengakhiran riwayat akhbar Melayu tertua berusia 80 tahun di Malaysia iaitu Utusan Melayu (M) Berhad.

Sebaik kenal huruf dan boleh membaca tulisan jawi, akhbar Utusan Melayu menjadi bacaan wajib di kedai kopi arwah atuk di  Kg Seri Bengkal. Malah kedai kami penuh orang setiap hari kerana ketagihan masyarakat kampung menimba pengetahuan dari akhbar yang sangat berjasa ini.  

Apabila Berita Harian muncul kekuatan surat khabar jawi mula tenggelam. Utusan Malaysia tulisan rumi mula menambat hati masyarakat dengan paparan yang bermacam ragam. 

Kebolehan dan bakat menulis aku bermula dari ruangan akhbar Utusan. Dengan nama pena Man JBP,  Manora atau nama samaran lain, aku akan menulis isu di ruangan Forum Utusan. Jika tulisan berbentuk pandangan bernas maka Utusan akan menyiarkan di paparan khas 'Rencana'. 



Aku menulis di zaman mesin taip di MPSAH sehingga bergelar guru di SK Gelang Patah. Bila sistem email diperkenalkan ianya memudahkan penghantaran artikel.  Semua artikel penulisan ini telah membantuku melanjutkan pelajaran ketika temuduga Kursus Diploma Perguruan Khas,  dan juga mendapat biasiswa penuh persekutuan peringkat sarjana di UM sepenuh masa.  

Kerana kerap menulis di Utusan, aku mula menerima bayaran. Ketika itu aku mula mengenal perkataan 'honorarium' atau saguhati penulisan. 
Aku tidak pernah berniat menulis untuk mendapat bayaran.  

Paling bersejarah apabila Utusan mula menilai tulisan aku dan memberikan 'tapak khas' isu kebajikan warga pendidikan di Malaysia. 
Ruangan 'Gelanggang Guru'  mula menjadi medan besar untuk melontar pandangan isu-isu kebajikan guru dan sistem pendidikan negara.  Koleksi tulisan di Gelanggang Guru pernah dibukukan oleh salah seorang penulis ketika itu.  

Mata pena sememangnya lebih tajam dari mata pedang !! Menulis dapat membuat beribu akal berfikir dan berubah.  Banyak hasil tulisan diambil perhatian. Ruangan Forum Pembaca memang ruangan panas untuk menegur atau membetulkan banyak perkara.  Ianya seperti 'Aduan Rakyat'. 

Banyak pihak akan terkesan jika tulisan itu menyentuh mereka.  Perdana Menteri YAB DS Dr Mahathir ketika itu sangat peka dengan aduan di akhbar.  Panas punggunglah sesiapa yang mendapat aduan di Forum Pembaca jika tidak menjawab semula.  Malah surat kepada  Dr Mahathir ketika itu turut dibalas oleh beliau sendiri berkaitan isu PLKN.  Beberapa Menteri gelabah biawak menerima salinan dan mengambil tindakan segera isu PLKN yang ditulis. Zaman PM selepas era Dr Mahathir amat lemah dan segala aduan langsung tidak mendapat maklumbalas. Surat rasmi kepada agensi kerajaan pun tidak diambil berat dan disepikan begitu sahaja.  

Ada perkara yang aku kurang senang dengan  Utusan Melayu, kerana  banyak mempertahankan pemimpin dan tidak mahu bersikap terbuka terhadap teguran ikhlas.  Tulisan yang dihantar berkali-kali secara email tidak disiarkan. Bila tulisan tidak disiarkan perasaan kecewa akan muncul.  Pengarang Utusan banyak menapis tulisan yang menyentuh dasar kerajaan atau isu kepimpinan negara.  Kerana kecewa aku mula kurang menulis di akhbar dan mencipta Blog sendiri dan menjadi penulis maya. Tulisan aku mula mendapat perhatian di Kelab Che Det dan portal lain. 

Tahun 2009 Facebook muncul dan aku bebas menulis tanpa diedit sesiapa. Sekembalinya dari menunaikan haji pada 2010, aku berazam menghilangkan ketagihan membaca akhbar dan menonton berita. Ianya berjaya dilakukan   sehingga sekarang. 

Aku memendam rasa kecewa kepada Utusan Melayu dan sikap tertutup pemimpin yang akhirnya terbukti merugikan. Namun tidak diduga ianya menutup terus periuk nasi mereka. Arus kemodenan dan kecanggihan media masa menelan kelangsungan akhbar bercetak. Suasana ini hampir tidak dapat dielak dan Utusan terpaksa menerima kenyataan. 

Kata Laksamana Hang Tuah,  'Tak akan Melayu hilang di dunia !'.. Mungkin betul,  mungkin salah !
Malaysia kini hanya ada nama KTM di bumi bertuah. DAP pasti bermegah bila tinta  perjuang Utusan Melayu dapat dihapus menulis wadah bangsa. Akhirnya terbukti pemimpin Melayu yang 'skrew' dan menikam Utusan Melayu hingga hilang maruah dan menjadi sejarah.

Aku masih menyimpan beratus-ratus  artikel tulisanku dalam utusan sebagai kenangan. Utusan Melayu  tetap menjadi sebahagian nostalgia hebat dalam perjalanan kehidupanku.  Biarpun pahit ianya harus ditelan. Terima kasih warga kerja Utusan Melayu.


Antara keratan akhbar Utusan zaman dulu-dulu

Sumber dan kredit : LUKMAN MOIDIN
Pertubuhan BARAKAH Malaysia

Semoga dipermudahkan urusan bekas pekerja di UTUSAN........

Catat Ulasan

5 Ulasan

  1. berakhirnya era surat khabar dek kerana arus kemodenan IT
    kesian dgn nasib para pekerja. semoga mereka beroleh rezeki yg lebih baik.

    BalasPadam
  2. zaman kak ana dulu, majalah2 hiburan utusan seperti URTV dan Hai antara koleksi wajib ada masa tu kerana di situlah sumber hiburan yang ada selain radia dan tv , semua itu kini jadi sejarah

    BalasPadam
  3. Sedihnya cikgu bila baca tentng berita ni.. sy seorang yang suka sgat baca surat khabar berbanding akhbar yg berbentuk digital..

    BalasPadam
  4. Salah pihak pengurusan tertinggi yg terlalu taksud kpd pemegang saham. Akhirnya akhbar ini terkubur.

    BalasPadam
  5. Rasa terkilan sebenarnya..kerana PC sendiri membesar dengan Utusan..keluarga PC suka baca Utusan.

    BalasPadam