Cara hukuman rotan yang dibenarkan dalam Islam



Isu rotan belum habis, selesai isu lama timbul isu baru. Begitu jugs isu disiplin, apa penyelesaiannya? Antara salah satunya adalah dengan hukuman. Iya, rotan adalah salah 1 hukuman untuk membentuk dan mendidik anak. Bagaimana? Baca artikel yang cikguzim ambil dari blog usim ini....

Islam sebuah agama yang syumul menyentuh setiap aspek kehidupan manusia seperti politik, ekonomi dan sosial. Turut tidak ketinggalan aspek pendidikan. Aspek pendidikan penting dalam membangunkan unsur kemanusiaan yang terdiri daripada aqal, jasad, hati, nafsu dan roh. 

Nabi Muhammad s.a.w. antara guru terhebat dalam lembaran sejarah Islam. Kesan pengajaran dan dakwah baginda terbukti telah dapat membentuk generasi yang bertakwa. 



Dalam kaedah mendidik anak-anak, salah satu cara yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah kaedah rotan (AAbdullah Nasih Alwan 1974). Kaedah ini diekstrak daripada Hadis Nabi s.a.w. tentang kewajipan ibu-bapa mengajar anak-anak akan ibadat solat. Nabi s.a.w. bersabda:

مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين، واضربوهم عليها وهم أبناء عشر سنين، وفرقوا بينهم في المضاجع

Maksudnya: Suruhlah anak-anakmu bersolat ketika mana mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mengerjakan solat) ketika mana mereka berumur 10 tahun dan pisahkan tempat tidur antara mereka (iaitu anak lelaki dan perempuan).

(HR Abu Daud: 495)

Selain itu, hadis ini juga menunjukkan bahawa dalam aspek pendidikan, kaedah rotan adalah dibenarkan. Hukuman rotan boleh dilaksanakan atas dasar untuk mendidik dan merupakan pilihan terakhir. Hukuman dengan cara merotan ini tidak boleh dilaksanakan pada kali pertama kesalahan anak atau murid. Setiap kesalahan itu haruslah terlebih dahulu dijelaskan kedudukannya. 

Kemudian, penekanan kepada tindakan atau tingkah laku yang betul perlu diberikan. Peluang untuk memperbaiki kesalahan juga perlu diberi. Pendekatan untuk menggunakan rotan ini dapat diambil daripada hadis Nabi s.a.w. yang disebut di atas tadi. Tempoh tiga tahun ditetapkan dalam hadis tadi sebagai tempoh tarbiyyah atau tempoh mendidik bagi ibadat solat (Abdullah Nasih Alwan 1974).

Selain itu, konsep tadarruj iaitu mendidik secara berperingkat-peringkat juga dapat diekstrak daripada pemahaman hadis ini. Anak-anak perlulah diajari dan disuruh untuk mengerjakan solat bermula umur tujuh tahun. 

Perkataan مروا yang menunjukkanfi`il amr lil istimrar iaitu perkataan suruhan yang berterusan menunjukkan bermula umur anak tujuh tahun, ibu bapa perlulah mengajari dan menyuruh anak untuk bersolat secara istiqamah. 

Ibu-bapa perlu mengambil berat hal ini sehinggalah anak tersebut berumur 10 tahun. Sekiranya, sehingga umur tersebut anak tidak mengerjakan solat secara sengaja, maka hukuman rotan boleh dikenakan.

Dalam pada melaksanakan hukuman rotan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh ibu-bapa atau para guru. Antaranya ialah, meletakkan niat sebelum merotan itu, untuk mendidik jiwa anak tersebut dan bukannya untuk menghukum fizikal yang melakukan kesalahan. 

Dengan ini ia dapat mengelakkan ibu-bapa atau guru daripada merotan mengikut hawa nafsu sehingga cedera (Noornajihan Jaafar 2005).



Selain itu, hukuman ini perlulah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pada peringkat awal hukuman dari aspek emosi boleh dilakukan, seperti mengasingkan anak atau murid tersebut daripada rakan-rakannya. 

Sekiranya cara ini tidak berkesan, barulah ibu-bapa atau guru menggunakan hukuman fizikal. Namun, Abdullah Nasih Alwan (1974)menegaskan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sekiranya ingin melaksanakan hukuman fizikal, seperti:

Hukuman rotan tersebut hendaklah merupakan alternatif terakhir, setelah cara-cara didikan lain digunakan.

Tatacara merotan dalam Islam:

Elakkan merotan ketika sedang marah. Hendaklah ibu-bapa atau para guru menenangkan diri seketika  sebelum mengambil tindakan untuk merotan.

Elakkan merotan pada anggota badan yang sensitif seperti kepala, wajah dan dada.

Hendaklah rotan pada kali pertama itu perlahan, dan meningkat kekuatannya pada bilangan yang berikutnya.

Sekiranya rotan pada kali pertama tidak memberikan kesan kepada tingkah laku anak atau murid, bolehlah ditambah bilangannya.

Hendaklah ibu-bapa atau guru itu sendiri yang merotan dan tidak mewakilkan hukuman tersebut kepada anak atau murid yang lain.

Elakkan merotan lebih daripada 10 kali, bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w.
لا يجلد فوق عشر جلدات إلا في حد من حدود الله

Maksudnya: Jangan merotan lebih daripada 10 kali sebatan kecuali pada hukum hudud.

(HR Bukhari: 6456)

P/S : Zaman dulu kena rotan dengan cikgu balik rumah beritahu kena rotan lagi dengan mak ayah. Terima kasih ibu ayah dan cikgu yang telah merotan saya sehingga saya menjadi orang.

Orang zaman dahulu siap gantung rotan di dinding sebagai peringatan kepada anak2, supaya anak2 tahu apa yang betul apa yang salah. Jangan manjakan sangat anak! Rotan saja bila perlu...Tontonlah filem Anakku Sazali arahan Tan sri P Ramlee.......

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Tengah viral sekarang, kisah seorang pelajar perempuan dirotan oleh gurunya sebab panggil cikgu pondan.

    BalasPadam