Apabila mendengar berita kematian
Setiap hari kita mendengar berita kematian.
Sama ada orang yang kita kenali atau tidak kenali.
Oleh kerana kematian adalah sesuatu yang kerap berlaku, kita sering terlepas peluang untuk merenunginya.
Jika kita fikir tentang kematian, apa yang sering kita fikirkan adalah orang lain yang akan mati.
Namun untuk diri kita, kita sentiasa merasa diri jauh daripada didatangi kematian.
“Tak mungkin aku mati lagi. Aku masih muda.”
“Aku baru buat checkup. Kesihatan masih okay.”
Jika kita tidak ucapkan dengan lidah, ini diungkapkan dengan bahasa badan dan tindakan.
Hari ini dalam kesibukan seharian kita dengan urusan kerja, keluarga, mencari harta; renungkanlah bagaimana al-Quran berbicara tentang kematian.
Kita pasti akan temui sesuatu yang menginsafkan.
Antaranya:
إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ
“Ketika datang kepada Ya’qub kematian.” (al-Baqarah: 133)
إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ
“Tatkala datang kepada seseorang daripada kalian kematian.” (al-Baqarah 180)
إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ
“Tatkala datang kepada seseorang daripada mereka kematian.” (al-Nisa’: 18)
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ
“Di mana sahaja kalian berada, kematian akan menemui kalian.” (al-Nisa’: 78)
حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ
“Sehingga datang kepada seseorang daripada kalian kematian.” (al-Mukminun: 99)
Adakah anda perasan sesuatu pada ayat-ayat yang berbicara tentang kematian?
Menurut al-Marhum Sheikh Dr Solah al-Khalidi, perkataan الموت (kematian) dalam al-Quran akan sentiasa datang dalam bentuk fa’il (pelaku).
Ini dapat dilihat dalam ayat yang berbicara tentang kematian yang menimpa seseorang.
Apabila kematian menjadi 'pelaku', ini memberikanisyarat bahawa kematian itu sendiri yang akan datang kepada kita tanpa perlu kita mencarinya.
Bahkan ini juga menggambarkan kematian seperti sebuah makhluk yang tahu di mana kita berada dan bilakah kita akan mati.
Ia akan datang tepat pada waktunya tanpa terlambat atau terawal sedikitpun!
Selain itu, struktur ayat-ayat ini juga memberikan maksud yang mendalam.
Kematian (الموت) sentiasa menjadi fa’il muakhkhar (pelaku yang diletakkan di hujung).
Salah satu contoh ayat yang kita baca di atas:
إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ
“Tatkala datang kepada seseorang daripada kalian kematian.” (al-Baqarah 180)
Jika mengikut struktur ayat yang asal:
إِذَا حَضَرَ الْمَوْتُ أَحَدَكُمُ
“Tatkala datang kematian kepada seseorang daripada kalian.”
Kenapakah kalimah kematian diterbalikkan posisinya dan diletakkan di hujung?
Menurut al-Marhum Sheikh Dr Solah al-Khalidi, hal ini kerana kematian adalah sesuatu yang sentiasa berada di hujung fikiran manusia.
Walaupun kematian pasti akan datang, namun ia tetap menjadi perkara terakhir yang berada di fikiran manusia.
Secara tidak langsung, di sini terserlah kemukjizatan al-Quran yang datang daripada Allah Yang Maha Mengetahui.
Allah SWT tahu bahawa manusia tidak terlalu berfikir tentang kematian.
Sentiasa menafikan kematian akan tiba buat dirinya.
Maka ayat-ayat ini datang tepat dengan situasi tersebut.
Sama ada kita sedar atau tidak, tatkala kematian sampai, pada waktu itu tidak ada lagi peluang untuk kembali ke dunia.
Tidak ada lagi peluang untuk bertaubat dan membetulkan segala kesalahan.
Firman Allah SWT:
حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia).”
لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّا ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا ۖ وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ
"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”
(al-Mukminun: 99-100)
Sama ada kita suka atau tidak dan bersedia atau tidak, kematian akan datang menemui kita.
Marilah kita 'sambut' kematian dengan mempersiapkan bekalan amalan soleh.
Catat Ulasan
2 Ulasan
Tak mungkin kita dapat lari dari mati.
BalasPadamMati itu pasti
BalasPadam