Membawang di media sosial

1. Istilah ‘membawang’ sudah menjadi satu istilah yang difahami oleh rakyat Malaysia sebagai satu perbuatan memperkatakan tentang orang lain, bergosip atau mengumpat. Ada yang mengatakan asal usul perkataan ‘membawang’ ini bermula dengan gelaran ‘Mak Cik Bawang’, iaitu wanita-wanita yang bergotong-royong atau melakukan ‘rewang’ dalam majlis kenduri. 


2. Dengan kecanggihan teknologi pada hari ini, aktiviti ‘membawang’ tidak terhad lagi dalam majlis atau perkumpulan tertentu sahaja. Malah aktiviti ‘membawang’ ini telah dikembangkan lagi di media sosial. 

3. Sekiranya komen dan ulasan yang dilontarkan merupakan suatu yang benar, berfakta, mengandungi unsur nasihat dan memberi manfaat, ia tidak menjadi masalah. Namun, yang menjadi satu masalah dan boleh mengundang dosa adalah apabila komen dan ulasan tersebut disertai dengan umpatan, fitnah, kecaman yang negatif serta memburukkan individu.

3. Hukum mengumpat di media sosial atau di alam maya sama sahaja seperti di dunia yang sebenar. Mengumpat atau dalam istilah bahasa Arabnya; ‘Ghibah’ bermaksud memperkatakan sesuatu perkara yang tidak disukai oleh seseorang itu di belakangnya. Nabi SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maksudnya: “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” (Hadis Riwayat Muslim)

4. ‘Ghibah’ merupakan satu dosa yang keji dan perbuatan ini diumpamakan seperti makan daging saudaranya sendiri. Tatkala kita mengata tentang keburukan seseorang, tidakkah kita jijik kerana seolah-olah kita sedang memakan daging manusia? Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah al-Hujurat:12)

5. Awasilah jari-jari kita sewaktu menaip komen-komen di media sosial. Boleh jadi ia satu kata-kata yang mengandungi umpatan yang merupakan dosa. Sekiranya tiada perkataan baik-baik yang boleh disampaikan, tahanlah diri daripada menghina, mencerca dan mengecam kerana Rasulullah SAW berpesan:

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرًا أو ليصمت

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Imam Nawawi Rahimahullah telah berkata: Sekiranya anda berhadapan dengan keadaan di mana anda tidak pasti sama ada bercakap atau diam itu lebih baik, maka pilihlah diam kerana Rasulullah SAW juga bersabda:

مَنْ صَمَتَ نَجَا

“Barangsiapa yang diam, dia telah terselamat” (Riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)

Hadis ini bermaksud, seseorang itu menemui jalan keselamatan apabila ia diam kerana telah terpelihara daripada dosa-dosa yang berpunca dari lidah dan perkataan.

7. Dosa yang berpunca dari lidah sangatlah berat sehingga boleh menjerumuskan pelakunya ke neraka. Walaupun ‘membawang’ dengan cara menulis di media sosial bukanlah bercakap kerana tiada suara yang didengari, namun ia boleh disamakan dengan bercakap kerana menulis menunjukkan kata-kata yang keluar dari hati seseorang itu. Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ العَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بالكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا إِلَى النَّارِ أبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ المَشْرِقِ والمَغْرِبِ

“Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dia fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam Neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. Takutlah dengan ancaman neraka bagi mereka yang tidak berfikir sebelum bercakap, apatah lagi secara semberono ‘membawang’ tentang sesuatu isu. Lebih-lebih lagi juga jika ia melibatkan berita yang belum pasti kesahihannya, isu rumah tangga orang lain yang tidak jelas hujung pangkalnya dan pelbagai isu lain.

9. ‘Membawang’ sebenarnya tidak membawa apa-apa kebaikan dan faedah malah boleh mengundang dosa kecuali jika ia mengandungi ajakan untuk bersedekah, menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta mendamaikan antara manusia. Allah SWT berfiman:

لَا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِنْ نَجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ ۚ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma’ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar”(Surah An-Nisa’: 114)

10. Oleh itu haramkah ‘membawang’? Ia menjadi haram sekiranya mengandungi unsur mengumpat atau ‘ghibah’. Namun terdapat beberapa keadaan yang diharuskan oleh syarak untuk ‘membawang’ atau mengumpat serta memperkatakan tentang orang lain. Namun ia tidaklah boleh dilakukan sewenang-wenangnya apatah lagi dilakukan secara terbuka di media sosial. Antara situasi yang diharuskan syarak untuk mengumpat menurut Imam Nawawi Rahimahullah adalah:

Pertama: Membuat aduan apabila dizalimi kepada penguasa.

Oleh itu, apa-apa aduan seharusnya disalurkan terus kepada pihak yang bertanggungjawab dan elakkan daripada ditularkan di media sosial kerana ia membuka keaiban kepada umum dan mengundang dosa umpatan daripada orang ramai.

Kedua: Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.

Contohnya menyebut maksiat yang dilakukan seseorang untuk menegur dan mengajaknya kembali kepada Allah, bukan dengan tujuan menghina dan mengecam.

Ketiga: Menceritakan kepada mufti dengan tujuan meminta fatwa.

Diharuskan untuk memberitahu keburukan seseorang khusus kepada orang yang mahir tentang hukum hakam dengan tujuan untuk mendapatkan penjelasan hukum. Justeru, hindarkanlah dari menyebut keaiban seseorang di media sosial untuk mendapatkan respon dan komentar netizen. Carilah orang yang berkelayakan untuk mendapatkan pandangan.

Keempat: Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka.

Dibolehkan untuk menceritakan keburukan atau perihal seseorang contohnya mendedahkan individu yang tidak mempunyai kelayakan agar orang ramai berhati-hati daripada mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.

Kelima: Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.

Sekiranya seseorang itu telah mendedahkan aibnya secara terbuka, maka dibenarkan untuk menyebut keburukannya.

Keenam: Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang.

Contohnya menggelar seseorang itu si bisu atau si buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

11. Justeru, jauhilah dosa ‘membawang’ dan tinggalkanlah perkara yang tiada kaitan dengan diri kita. Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan sabda baginda:

مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya”(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

12. Carilah pahala di media sosial dengan menyebarkan kebaikan. Tukarlah aktiviti ‘membawang’ dengan aktiviti yang memberi manfaat di media sosial seperti saling memberi nasihat dan tazkirah, berbincang perkara ilmiah dan berkongsi info atau apa sahaja yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

13. Peliharalah juga adab dan akhlak Islam ketika menggunakan teknologi media sosial pada hari ini. Ingatlah bahawa setiap tindak tanduk kita dicatat oleh malaikat dan semuanya dalam pengetahuan Allah. Firman Allah SWT:

مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Tiadalah seseorang itu mengucapkan apa-apa pun melainkan di sisinya ada yang menulis.” (Surah Qaf: 18).

Moga Allah memelihara kita daripada ‘membawang’ yang membawa dosa dan dimurkai oleh Allah SWT.

Wallahua’lam.

Kredit : Nur Fatin Halil dari MUIS

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Tak pasal-pasal bawang dah sama maksud dengan mengumpat. Kesian bawang..

    BalasPadam
  2. Risau jugak kalau kalau 'ter' membawang dlm aktiviti menaip ni.

    BalasPadam
  3. Membawang online lagi bahaya sebab satu dunia boleh baca. Dari membawang baik tulis blog. Hehe

    BalasPadam
  4. Kena masuk kamus 'membawang' ni. Oleh itu, marilah kita taip dan ucapkan yang baik baik sahaja.

    BalasPadam