Cara kawal gula dalam darah



Bagi pesakit diabetes, pengambilan makanan faktor penting bagi mengawal tahap gula dalam darah. Ini kerana pesakit kencing manis mengalami masalah dalam proses metabolisme, yang sepatutnya karbohidrat diproses dapat dijadikan gula (glukos) dan ditukarkan kepada tenaga.

Bagi pesakit kencing manis, metabolisme ini tidak berlaku. Gula yang dihasilkan tidak dapat digunakan menjadi tenaga kerana penghasilan insulin yang tidak mencukupi atau masalah insulin yang ada tidak dapat digunakan akibat kerintangan insulin (insulin resistance). Maka berlakunya pengumpulan gula sehingga terlalu tinggi (hyperglycaemia) dan akhirnya mendatangkan komplikasi seperti kegagalan ginjal, kebutaan dan sakit jantung.


Oleh sebab itu, pesakit kencing manis harus mengurangkan pengambilan karbohidrat yang berproses kerana ia menghasilkan gula dengan segera. Ia dapat dikenalpasti kerana bacaan Glycemic Indexnya yang tinggi. Ramai di kalangan pesakit kencing manis yang keliru dengan pemakanan (diet) yang terbaik untuk mereka. Padahal ia penting bagi mengawal paras gula (glukosa) dalam darah.
Dengan pengambilan makanan yang betul, mereka mampu mendapat berat badan bersesuaian dan mengelakkan komplikasi kencing manis.

Saya selalu memberikan perkongsian tentang tiga perkara iaitu apa yang hendak dimakan, bila waktu makan dan jumlah komposisi makronutrien makanan yang perlu diambil oleh pesakit kencing manis. Bagi memberikan kesan positif dan berpanjangan, terdapat tiga kumpulan makanan untuk pesakit diabetes iaitu makanan perlu dielakkan, makanan perlu dihadkan serta makanan yang bebas dimakan.

1. MAKANAN YANG PERLU DIELAKKAN

Makanan yang mengandungi karbohidrat berproses yang akan menghasilkan gula ringkas dengan cepat seperti nasi putih, gula putih, biskut, cookies dan roti putih. Banyak makanan yang diproses dan dibungkus mengandungi "gula tersembunyi". Ia dilabelkan sebagai maltosa, sukrosa dan fruktosa yang mungkin terdapat dalam sos, kicap, buah-buahan yang dikeringkan.

Makanan atau minuman yang manis selalunya mengandungi gula ringkas (dan akan meningkatkan tahap gula di dalam darah dengan kadar cepat). Ini termasuk minuman yang menggunakan susu pekat manis, buah-buahan dalam tin, minuman ringan, jem dan semua makanan bersalut gula.

2. MAKANAN YANG PERLU DIHADKAN

Makanan mengandungi karbohidrat kompleks boleh diambil dalam jumlah sederhana kerana ia akan diserap perlahan-lahan dan dengan ini tidak menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah secara mendadak. Oleh itu, pengambilan makanan dalam kumpulan ini harus diagihkan sepanjang hari, bukannya dimakan sekali gus dengan banyak.

Antaranya nasi perang dan nasi dari beras rebus, bijirin, kekacang, susu segar, pasta dari sayur-sayuran, ubi-ubian, buah-buahan dan sayuran berkanji seperti labu, jagung dan serbuk coklat.

3. MAKANAN YANG BOLEH DIMAKAN

Ini termasuk air kosong, air mineral, kopi/teh (tanpa gula), air barli (tanpa gula), jus limau nipis (tanpa gula), sayur-sayuran, ulam-ulaman, sup daging dan tulang (yang kurang lemak).

Pengambilan banyak serat dalam makanan sangat baik kerana ia melambatkan penyerapan gula ke dalam darah.
Serat pula boleh didapati dalam bentuk larut (yang larut dalam air) dan serat tidak larut (tidak dapat dihadam sistem pencernaan namun membantu mengelakkan sembelit).

Serat tidak larut digalakkan untuk diambil untuk mengurangkan berat badan kerana mencepatkan rasa kenyang dan melambatkan rasa lapar. Pengambilan serat larut pula membantu melambatkan penyerapan gula dan kolesterol ke dalam aliran darah. Contoh makanan mengandungi serat termasuk sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan, kekacang, bijirin, jagung dan pasta.

Selain menjaga pemakanan, pesakit kencing manis juga digalakkan melakukan senaman ringan setiap hari seperti berjalan kaki, turun naik tangga atau berkebun. Saya juga mencadangkan pesakit diabetes mengambil minyak sihat (healthy fat) bagi mendapatkan tenaga yang mencukupi setelah mengelakkan pengambilan karbohidrat yang berproses. Lemak sihat akan memberikan tenaga dalam bentuk non-sugar yang tidak menaikkan tahap gula dalam darah.

Sumber : Dr Zubaidi

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. terima kasih atas perkongsian cikgu, saya teringat nenek saya di kampung yang baru mula mengambil insulin pada bulan puasa lepas. Sekarang menu nenek dijaga oleh emak saya di kampung, dan alhamdulillah nampak perubahan masa mula-mula dia ambil insulin hingga sekarang ni. Awal tu semua tak selera makan tapi sekarang semakin ok, nenek pun dah mula sibuk berkebun seperti masa dia sihat dulu.

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas perkongsian...dari awal ni kita patut jaga kadar gula dalam badan kan..SA pun dah start amalkan pengambilan makanan healthy, lebihkan sayur dan buah- buahan serta dah start cut sugar dah 2 bulan dah..

    BalasPadam