Diet untuk sihat dan ikut kemampuan bukan ikut tren dan menyeksa diri



“Hari ni tak boleh makan banyak, aku diet”. Dialog seperti ini biasa kita dengar, sama ada ia diungkap sendiri atau mungkin keluar dari mulut orang lain.

Di laman sosial khususnya Facebook, Instagram atau Twitter, mudah sekali melihat deretan gambar atau mesej dimuat naik berkaitan diet. Ada berkaitan dengan makanan untuk diet, tidak kurang juga testimoni mereka yang berjaya kurus selepas mengamalkan diet.


Ramai yang melakukan diet sendiri, namun ada juga yang memilih perkhidmatan online coaching. Melaluinya seorang jurulatih akan memberi panduan mengenai cara menjaga pemakanan dengan diet seimbang, selain mengamalkan senaman untuk kekal cergas.

Ringkasnya, diet dan amalan gaya hidup sihat ketika ini sudah semakin menjadi trend di negara ini. Impaknya, ramai mula sedar kepentingan untuk memiliki berat badan ideal, demi meningkatkan keyakinan diri, sekali gus menjaga kesihatan.

Realitinya, banyak jenis diet biasa diamalkan rakyat negara ini. Antara paling popular diet Atkins, diet puasa, diet mengikut jenis darah, diet tanpa nasi dan diet seimbang.

Diet Atkins diilhamkan ahli kardiologi, Robert C Atkins pada 1960-an. Konsepnya mengurangkan karbohidrat dalam diet dan melebihkan makanan yang tinggi protein.

Diet puasa atau lebih dikenali sebagai intermitten fasting yang memerlukan seseorang itu berpuasa selama 16 jam dan makan dalam tempoh 8 jam seterusnya.

Diet mengikut jenis darah pula merujuk pengambilan makanan sesuai jenis darah, manakala diet tanpa nasi adalah menghentikan pengambilan menu ruji itu dalam pengambilan pemakanan seharian.

Diet seimbang merujuk makan berdasarkan piramid diet dan merancang keperluan kalori seharian, serta mengikut kuantiti yang betul. Kaedah ini paling disyorkan pakar pemakanan kerana mengandungi semua nutrien diperlukan badan.

Tidak dinafikan kebanyakan aliran diet berkenaan jika diamalkan secara konsisten, sememangnya memberi kesan kepada pengamalnya. Namun, tempoh hasilnya tidak tentu. Ada yang mengambil masa pendek, ada juga panjang, mengikut komitmen, keupayaan dan fizikal seseorang.

Ada juga yang konsisten, tetapi sentiasa bertukar-tukar jenis diet diamalkan. Jika hari ini dia mengamalkan diet tanpa nasi, esok pula dia memilih kaedah intermitten fasting.

Pengamalnya dilihat sentiasa berdiet, tetapi perlu diingat sikap sering bertukar-tukar jenis diet ini menyebabkan matlamat untuk menurunkan berat badan sukar dicapai. Ini diakui pakar pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri, yang merujuknya sebagai kesilapan berdiet.

Kesilapan dimaksudkan antaranya seperti melangkau hidangan, terutama sarapan pagi, tidak cukup makan, tidak makan nasi kerana menganggap ia menggemukkan, diet membabi buta kerana terikut trend dan tidak tahu keperluan kalori.

Selain itu katanya, ramai juga menganggap diet hanya untuk jangka masa pendek, sedangkan ia amalan sepanjang hayat.

Melihatkan trend diet semakin ‘meriah’, banyak penjual mula mempromosi produk seperti untuk cepat langsing dengan pelbagai tagline seperti ‘kurus tanpa perlu diet’ dan ‘kurus seawal tujuh hari’.

Bagi yang mudah terpengaruh, keajaiban melalui produk seperti ini amat ditunggu-tunggu. Melihat kepada testimoni yang entahkan betul, entahkan tidak, terus sahaja membuat pembelian secara dalam talian. Tidak kisah berapa harganya atau apa kesan sampingan, asalkan boleh kurus seperti dijanjikan penjual.

Bagi pengamal diet yang tidak percayakan produk seperti ini, mereka selalunya akan menangkis dakyah penjual produk kurus ini dengan prinsip ‘lemak yang diternak bertahun-tahun, takkan dalam masa tujuh hari boleh hilang’.

Yang pasti, dalam diet komitmen adalah faktor paling utama. Tanpa komitmen seperti hari ini diet, esok pula tidak, matlamat menurunkan berat badan untuk langsing dan sihat tidak akan tercapai.

Ada yang tidak mampu jika tidak makan nasi, ada pula yang sebaliknya. Ada yang boleh berpuasa selama 16 jam dan hanya minum air kosong, ada pula yang perlu makan dengan kerap.

Pokok pangkalnya, apa jenis diet ingin dilakukan, matlamatnya sama iaitu mahukan tubuh badan lebih sihat dan cergas. Jadi, pastikan diet anda mengikut kesesuaian dan kemampuan diri.

Sumber : Bharian https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/09/612366/amal-diet-jangan-sampai-memudaratkan-diri

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. diet tu sepatutnya untuk sepanjang hayat, sebab lifestyle change. setuju sgt dgn artikel ni

    BalasPadam
  2. sedang berdiet mengikut kemampuan kesihatan diri, tapi kesannya agak lambat mungkin kerana masalah kesihatan saya.

    BalasPadam
  3. Mula-mula betulkan niat. Kemudian dietkan nafsu. InshaAllah mudah untuk disetkan tubuh. PC sendiri pun sentiasa berusaha disetkan nafsu dulu sebab nak makan minum yang macam-macam itu daripada nafsu.. Keinginan.
    Betul. Diet ikut mempunyai tubuh dan kebolehan tubuh terima perubahan.

    BalasPadam