Apa perlu buat jika kereta tiba-tiba rosak tengah jalan?



Alhamdulillah selamat sampai kampung untuk raya 2019. Tapi setiap kali balik raya melalui highway LPT Bentong Karak dll mesti ternampak kereta2 rosak tersadai tepi jalan.  Nauzubillah semoga sentiasa dilindungi perjalanan. Tapi macam mana kalau betul2 terjadi pada kita? Saya ambil tips ini dari fustasticko.net bersumberkan saudara Wan Amir. #simpanuntukrujukansendiri.
Sekali towing dah rm300, takkan la nak tarik kereta sendiri hehe. Sumber gambar : Google

Semasa dalam perjalanan terutama sekali di lebuh raya, apa yang paling merisaukan pemandu adalah apabila kenderaan mereka mengalami kerosakan, tak kiralah kerosakan kecil seperti tayar pancit, enjin kereta terlampau panas sehinggalah melibatkan kerosakan enjin yang teruk. Kebiasaannya tidak lama selepas itu secara tiba-tiba muncul lah kelibat trak tunda dengan ‘murah hatinya’ menghulurkan bantuan.
Dalam keadaan begini sudah pastinya anda mengharapkan pertolongan dan trak tunda yang muncul secara tiba-tiba itu mungkin niatnya ada ‘udang di sebalik mee’. Sudah pasti anda akan dipujuk untuk ikut mereka ke bengkel yang sedang menunggu mangsa. Jadi bila terjadi perkara seperti ini, pertama sekali anda JANGAN PANIK!

Bila panik anda akan menggelabah dan mudah dimanipulasikan oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan atas kesusahan anda. BERTENANG dan ikut langkah ini.
LANGKAH 1 : PLUSRONDA

Jangan ambil apa-apa perkhidmatan kereta tunda yang ‘tidak diundang’ itu dengan apa jua alasan mereka kerana sebagai pengguna lebuh raya anda berhak mendapat perkhidmatan tunda secara PERCUMA daripada syarikat konsesi lebuh raya, contohnya oleh PLUSRONDA. Mereka akan membawa anda daripada lokasi kejadian sehingga ke hentian Rehat dan Rawat atau plaza tol yang berhampiran. Ini kerana penunda yang ‘tidak diundang’ ini selalunya sudah sediakan macam-macam bil untuk anda.

Apa yang perlu anda buat?
  1. Nyalakan lampu kecemasan kenderaan.
  2. Dapatkan lokasi kilometer (ada tanda km di tepi lebuh raya di setiap 100m).
  3. Telefon nombor bantuan syarikat konsesi lebuh raya, contohnya PLUSRONDA – 1800 88 0000.
  4. Nyatakan jenis kenderaan dan nombor plet kenderaan.
  5. Nyatakan kerosakan.
  6. Nyatakan nombor telefon untuk dihubungi.
LANGKAH 2 : TUNDA – SYARIKAT INSURANS
Selepas kenderaan anda dihantar ke hentian Rehat dan Rawat atau plaza tol terdekat, anda sekarang boleh menggunakan perkhidmatan tunda PERCUMA yang disediakan oleh syarikat insurans kenderaan anda ke bengkel yang anda kehendaki seperti pusat servis jenama kenderaan anda atau bengkel yang anda percayai.

Selalunya syarikat insurans menetapkan jarak yang diberikan PERCUMA seperti 200km ataupun lebih, mengikut polisi yang ditetapkan. Sekiranya lokasi tersebut lebih kilometer seperti yang ditetapkan, maka kadar tertentu akan dikenakan sebagai contoh RM1.50/km. Ada juga syarikat insurans menyediakan tuntutan sewa teksi untuk pulang ke rumah dan ada juga syarikat insurans menawarkan tuntutan kos penginapan hotel yang ditanggung kerana kerosakan tersebut mengikut terma-terma tertentu.
Jadi baca polisi anda, ketahui hak anda sebagai pengguna.
Apa yang perlu anda buat?
  1. Nyalakan lampu kecemasan kenderaan.
  2. Hubungi nombor khidmat bantuan syarikat insurans anda seperti yang tertera pada polisi atau pelekat yang diberi (biasa kita tampal dengan cukai jalan tu).
  3. Nyatakan lokasi kenderaan anda.
  4. Nyatakan jenis kenderaan dan nombor plet kenderaan.
  5. Nyatakan kerosakan.
  6. Nyatakan nombor telefon untuk dihubungi.
Dengan mengikuti langkah-langkah selamat ini, anda akan terhindar dari ‘konspirasi’ penipuan tersebut. Dan ingatlah, ada juga kerosakan yang sengaja dicipta oleh ‘syaitan bertopengkan manusia’ semasa anda berhenti di hentian Rehat dan Rawat tertentu. Kedua-dua perkhidmatan tunda samada dari syarikat konsesi lebuh raya dan syarikat insurans beroperasi 24 jam sehari selama 7 hari seminggu.
Jadi anda TIDAK PERLU RISAU ye!
Sumber : Funtasticko.net / Wan Amir.
Saya doakan perjalanan anda sentiasa selamat sampai dan jangan lupa baca doa menaiki kenderaan. Doa usaha tawakal, selamat hari raya 2019! =)

Catat Ulasan

0 Ulasan